Tuesday, July 31, 2007

Pelajaran Geografi

Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu supaya dapat melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan bermoral tinggi.

Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, mata pelajaran Geografi diwacanakan agar berupaya membentuk rakyat negara Malaysia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, kita perlu mewujudkan masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi, memandang jauh ke hadapan, berinovatif, berkebolehan untuk mengurus alam dan sumber secara optimum serta bertanggungjawab. Bagi mencapai hasrat ini, murid perlu dibentuk supaya menjadi warganegara yang kreatif dan kritis, berpengetahuan serta berupaya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.

Geografi merupakan mata pelajaran teras di peringkat Sekolah Menengah Rendah dan sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sekolah Menengah Atas. Mata Pelajaran Geografi bertujuan untuk melengkapkan murid dengan pemahaman dan kemahiran asas geografi serta nilai-nilai kemanusiaan. Mata pelajaran ini menyediakan murid menghadapi cabaran hidup ke arah mewujudkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Mata pelajaran Geografi merupakan kesinambungan mata pelajaran Kajian Tempatan di sekolah rendah.

Kandungan mata pelajaran Geografi adalah relevan dengan kehidupan manusia.

Kandungan mata pelajaran Geografi digubal berdasarkan pemahaman bahawa bumi dan alam sekitarnya adalah ruangan kediaman manusia. Kandungan ini merangkumi kajian tentang interaksi manusia dengan alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Kajian ruangan merangkumi pemahaman murid tentang Kemahiran Geografi, Geografi Fizikal dan Geografi Manusia. Aspek-aspek ini dikaji dalam pelbagai komuniti di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Mata pelajaran Geografi juga memupuk nilai-nilai hidup yang harmonis dan sejahtera serta memupuk nilai amanah, bersyukur, kesederhanaan, bertanggungjawab, tidak mementingkan diri sendiri dan mencintai alam sekitar. Pemahaman murid tentang alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia dapat menerapkan semangat patriotik serta mewujudkan sensitiviti murid terhadap fenomena alam secara setempat dan global. Usaha ini selaras dengan matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments: